Pengenalan

Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) ditubuhkan pada 1 Januari 2003 dengan gabungan empat entiti yang berasaskan Teknologi Maklumat di USM iaitu Pusat Komputer, Pusat Teknologi Maklumat, Unit Sistem Maklumat Pengurusan (SISMAP) dan Unit Pembangunan Teknologi Maklumat di Kampus Induk. Pelancaran secara rasmi telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Yg Bhg Prof Dato' Dzulkifli Abd Razak pada 27 Ogos 2003. PPKT akan berperanan sebagai satu pusat serenti dalam menyediakan perkhidmatan IT yang berkualiti dan juga bertindak sebagai pemangkin kepada segala aktiviti penyelidikan, pembelajaran, pentadbiran, pengajaran, pengurusan dan perundingan Universiti Sains Malaysia(USM).

Oleh kerana Kampus Kesihatan tidak mempunyai cawangan Pusat Teknologi Maklumat, Unit Sistem Maklumat dan Unit Pembangunan Teknologi Maklumat maka PPKT Kampus Kesihatan buat masa ini hanya merupakan pertukaran nama bagi Cawangan Pusat Komputer tanpa pertambahan kakitangan.

Cawangan Pusat Komputer bermula dengan seorang kakitangan pada tahun 1986 dan terus berkembang. Pada tahun 1996 Cawangan Pusat Komputer memulakan perkhidmatan Sistem Maklumat Hospital dan juga pengagihan PC kepada semua pensyarah, pegawai kategori A dan jabatan untuk memperkenalkan perkhidmatan rangkaian USMNet yang menjadi teras perkhidmatan PPKT sehingga kini. Perkhidmatan Sistem Maklumat Hospital akhirnya diambil alih oleh Unit Sistem Maklumat HUSM pada tahun 2000. Dengan bantuan PPKT di Kampus Induk PPKT Kampus Kesihatan akan menawarkan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk menjayakan agenda IT USM di kampus ini. Perkhidmatan pembangunan sistem aplikasi korporat akan dibangunkan oleh kakitangan di Kampus Induk untuk mempastikan ianya bersepadu.

Peranan yang menyeluruh diharap akan memastikan perlaksanaan pembangunan serta penggunaan perkhidmatan teknologi maklumat & komunikasi yang lebih bersepadu di USM, selaras dengan keperluan sasaran menuju ke arah menjadi sebuah e-Universiti Penyelidikan.