USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 April 2020 - Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kesihatan (MPPKK) dan Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani (MPDMN) Universiti Sains Malaysia (USM) berganding bahu dengan Pihak Pengurusan Kampus Kesihatan USM dalam menjaga kesejahteraan pelajar yang berada di dalam Kampus Kesihatan USM sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan di seluruh negara bermula 18 Mac 2020.

IMG 20200402 171652

Bilik Gerakan Covid-19 (pelajar) berpusat di 'Student Lounge' Pusat Mahasiswa (PUMA), Kampus Kesihatan USM beroperasi sepenuhnya bermula pada 21 Mac 2020. Perjalanan Bilik Gerakan diselia oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dengan kerjasama daripada Pusat Penginapan & Perumahan USM, Pengurusan Desasiswa Murni Nurani, Jabatan Keselamatan dan Pusat Islam.

MPPKK dan MPDMN memainkan peranan penting dalam menggerakkan Bilik Gerakan dan memastikan bilik tersebut sentiasa beroperasi mulai jam 8:00 pagi sehingga 10:00 malam setiap hari dengan menyediakan jadual tugas mengikut syif dalam kalangan pelajar sehingga tempoh PKP berakhir.

Pengerusi MPPKK, Nur Azlina Adris merakamkan ucapan terima kasih kepada individu dan pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang telah menyumbangkan wang tunai dan juga barangan keperluan.

IMG 20200402 171630

“Sumbangan barangan keperluan yang diberikan amat dihargai di kala pelajar tidak dapat keluar dari kampus seperti biasa dan hanya bergantung harap kepada kafeteria dan kedai runcit di dalam kampus sahaja yang mana pilihan barangan adalah terhad.

"Setiap sumbangan wang tunai dan barangan keperluan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan dan kebajikan semua pelajar termasuk pelajar yang menginap di luar kampus," katanya.

Selain menyediakan pelaporan setiap hari kepada pihak pengurusan, fungsi utama Bilik Gerakan adalah memastikan keselamatan dan kebajikan sekitar 600 orang pelajar (termasuk pelajar-pelajar antarabangsa) yang berada di dalam kampus sentiasa terjaga.

Tambah Azlina, semua pelajar menerima makan tengah hari dan makan malam percuma yang disediakan oleh kafeteria USM di samping menerima kupon khas untuk mendapatkan barangan secara percuma di kedai runcit USM.

"Selain itu, Bilik Gerakan juga bertanggungjawab mengemaskini setiap hebahan atau arahan terkini yang dikeluarkan oleh Pihak Pengurusan Tertinggi USM untuk dipanjangkan kepada semua pelajar.

"Kewujudan Bilik Gerakan Covid-19 (Pelajar) secara tidak langsung menerapkan nilai-nilai kebertanggungjawaban dan kemanusiaan dalam kalangan pelajar di samping mendedahkan mereka kepada situasi sebenar pengurusan bencana," jelasnya lagi.

Bagi mereka yang berhasrat dan ingin menyalurkan sumbangan atau bantuan, sila hubungi Bilik Gerakan Covid-19 (Pelajar) Kampus Kesihatan USM, di talian 09-7671303 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk keterangan lanjut.

Teks: Noor Hayati Mohammad dan Che Suhailah A. Rahman

Suntingan: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

Foto Ihsan: MPPKK dan MPDMN

SUMBER: http://www.kck.usm.my/index.php/news-media/1110-kebajikan-pelajar-mppkk-dan-mpdmn-main-peranan-penting-sepanjang-pkp

Penafian : Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Copyright © 2018 by Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi, Unit Web Dan Multimedia. All rights reserved.